mutakhir

Media salah tafsir, JAWI ikut SOP

Oleh Saadiah Ismail

JABATAN Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) berpendapat beberapa media tempatan dipercayai menyalah tafsir kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung larangan serbuan ke atas premis persendirian yang disyaki menjadi lokasi maksiat.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata JAWI adalah agensi yang diamanahkan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan dijalankan dengan penuh berhati-hati dan cermat mengikut standard operasi (SOP) ditetapkan.

“Buat masa ini, aspek pencegahan mendapat perhatian khusus JAWI bertujuan memberi maklumat kepada orang Islam supaya tidak melakukan kesalahan dilarang dalam undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Namun sekiranya terdapat kelompangan, maka SOP ini akan dinilai dan disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dan boleh dibuat penambah baik sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Aktiviti penguatkuasaan diamanahkan kepada JAWI ialah di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Mohd Ajib berkata, semua akta berkenaan adalah undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan, namun JAWI bersikap terbuka menerima sebarang idea, pandangan, cadangan dan teguran dari mana-mana pihak bagi penambah baik dalam pelaksanaan.

“Justeru, dari aspek pencegahan, tindakan undang-undang akan diambil sebagai langkah terakhir dalam tujuan mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa.

“Semua akta berkenaan digubal bertujuan untuk memelihara dan menjaga keharmonian serta kedamaian khususnya umat Islam,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 3:59pm
d