mutakhir

MAINJ bantu warga emas Singapura

Oleh Mary Victoria Dass

NASIB seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang tinggal sebatang kara dan digantung tidak bertali sejak lebih setahun lalu mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Wakil Jejak Asnaf MAINJ, Mohd Nasir Ishak berkata, wanita berkenaan, Hasanah Ali, 72, menjalani kehidupan serba kekurangan di sebuah rumah di Kampung Sungai Perling, Perling di Johor Bahru, sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, wanita yang juga warga Singapura tinggal di Johor sejak lebih 10 tahun lalu dan seorang OKU fizikal disebabkan masalah tulang belakangnya sejak kecil.

Menurutnya, difahamkan keadaannya bertambah buruk selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya lebih setahun lalu.

“Lebih malang sejak ditimpa kemalangan kami difahamkan dia digantung tak bertali oleh suaminya dan hasil tinjauan, kami dapati Hasanah kini dijaga adik perempuan dan adik iparnya yang tinggal di Mutiara Rini, Skudai.

“Mereka turut menguruskan kebajikan termasuk makan minum, selain kerap mengunjunginya setiap pagi dan petang,” katanya.

Nasir berkata, dia difahamkan wanita itu memiliki dua anak namun terputus hubungan kerana kedua-duanya berada di negara jiran iaitu masing-masing seorang di Singapura dan Indonesia.

“Pada hari ini kami menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM200 selain barangan dapur bagi menampung keperluannya.

“MAINJ bercadang menyalurkan sumbangan makanan setiap bulan bagi meringankan beban warga emas itu.

“Kami berharap, apa pun masalah peribadi Hasanah dengan suaminya, ia dapat diselesaikan segera dan tampil menjaga kebajikan wanita ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 4:50pm
d