mutakhir

4 maut kereta, 4x4 bertembung

Oleh Faris Fuad dan Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT individu maut, manakala dua lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 45 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di Batang Kali, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Lai Wui Lun, 21, Chen Mun Li, 20, Chong Yoong Hong, 20 dan Chang Thung Yuen, 22 yang menaiki kereta Proton Saga.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan itu berlaku apabila Proton Saga dinaiki mereka masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di bahagian depan.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Proton Saga, Lai dan penumpang di bahagian depan, Chen meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang kereta terbabit, Chong serta Chang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Seorang lagi penumpang Proton Saga, Ong Hui Chen, 16, dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di hospital sama. Pemandu Toyota Hilux, Rajan Vaithilingam, 46, yang patah tulang rusuk kiri dirawat di KPJ Rawang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua kenderaan itu dilaporkan remuk di bahagian hadapan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga mengakibatkan kematian,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2018 @ 5:31pm
d