mutakhir

Kepala melecur, rumah hangus

Oleh Recqueal Raimi

LELAKI melecur di bahagian kepala selepas terperangkap dalam rumah didiaminya yang terbakar di Kampung Rugading, Tuaran, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Maddayan Samin @ Saman, 42, bagaimanapun terselamat daripada rentung apabila melompat keluar melalui tingkap setinggi kira-kira empat meter.

Abang mangsa, Rajiwan, 48, yang turut tinggal di rumah berkenaan berkata, ketika kejadian adiknya sedang tidur sebelum tersedar apabila jiran menjerit namanya meminta keluar menyelamatkan diri kerana api marak.

“Mujur dia tersedar dan sempat menyelamatkan diri, namun bahagian kepalanya melecur manakala tangan luka terkena serpihan cermin tingkap,” katanya sambil memaklumkan mereka kini sehelai sepinggang dan menetap di rumah saudara berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.45 petang dan menghantar 10 anggota bersama dua jentera ke lokasi.

“Sebaik tiba, rumah berkenaan jenis tidak kekal yang dibina sejak lebih 20 tahun lalu musnah 100 peratus. Seorang mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuaran untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Qawie berkata, operasi memadam api ditamatkan 4.57 petang manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 12:43pm
d