mutakhir

Jho Low ada minta imuniti - Daim

Oleh Fahmy Azril Rosli

TUN Daim Zainuddin berkata, ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pernah menghubunginya untuk menawarkan bantuan.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata, Jho Low

menghubunginya untuk menawarkan diri membantu mencari aset yang mempunyai kaitan akibat penyelewengan dana dari 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam perbualan itu, Daim berkata, Jho Low sempat membuat permintaan kepadanya supaya kerajaan memberikan imuniti.

“Saya tidak tahu apa peranan yang dia (Jho Low) sedang mainkan. Saya cakap kenapa tidak kamu balik (ke Malaysia) dan kita berbincang terlebih dahulu.

“Dengan aset berkenaan, dia cakap dia boleh bantu kita (kerajaan) untuk dapatkan semula aset-aset dan beri kita satu atau dua nama (orang yang terbabit).

“Saya balas, apa kata ajak mereka jumpa saya,” katanya memetik laporan portal berita Channel News Asia, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai permohonan imuniti oleh Jho Low kepada kerajaan, Daim menolak permintaan itu.

Daim berkata, sekiranya Jho Low perlukan bantuan, maka anak kelahiran Pulau Pinang itu mesti pulang ke Malaysia terlebih dahulu.

“Saya cakap tidak kepada dia. Jika dia mahu bantuan, lebih baik pulang (ke Malaysia) supaya kita boleh berbincang.

“Dia kata, dia tidak bersalah. Tetapi saya balas, kalau tidak bersalah pulanglah (ke Malaysia). Kenapa pula perlu lari?” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 2:36pm
d