mutakhir

Anwar langgar peraturan kempen - Stevie [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

CALON Bebas, Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis, hari ini mendakwa calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melanggar Akta Pilihan Raya 1954 sepanjang kempen.

Chan, 51, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Katanya, tindakan Anwar menjanjikan projek besar dan melancarkan program tuisyen percuma pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson melanggar peraturan kempen bersih dan telus.

Berikutan itu, beliau membuat laporan menuntut polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa siasatan dan pendakwaan terhadap kesalahan Ketua Umum PKR itu.

"Anwar dilaporkan mengumumkan memperoleh tiga program untuk rakyat Port Dickson iaitu projek pelancongan lima bintang, program latihan penerbangan dan pendidikan.

"Ini dilaporkan secara meluas oleh media pada 1 Oktober lalu.

"Selain itu, pada 4 Oktober antara jam 3 hingga 6 petang di sebuah hotel di Port Dickson, Anwar melancarkan program tuisyen dalam talian percuma untuk pelajar sekolah di Port Dickson.

"Laman web pdtuition.com dengan jelas menyatakan ia ditaja Anwar," katanya ketika ditemui di perkarangan IPD di Port Dickson, hari ini.

Chan berkata, tindakan Anwar yang juga Ketua Umum PKR memaklumkan kepada pengundi mengenai projek diperoleh dan menaja program tuisyen berkenaan dipercayai melanggar Seksyen 10(a) dan 10(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menyogok.

"Saya membuat laporan ini kerana melihat budaya memberi hadiah dan janji manis yang membelenggu pilihan raya selama bertahun-tahun masih berterusan.

"Kita mesti berdiri teguh dalam memastikan Malaysia baharu yang dikecapi pada 9 Mei kekal bersih dan bebas politik lama," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 3:28pm
d