mutakhir

Tak boleh elak soalan kisah lalu - Mohd Saiful

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

CALON Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan mengakui sukar mengelak soalan orang ramai mengenai masa lampaunya sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

“Saya tidak mahu menjadikan kisah lama sebagai modal berkempen tetapi saya juga tidak boleh mengelak daripada soalan itu.

“Ke mana pun saya pergi, saya ditanya oleh orang ramai mengenai perkara masa lalu sehinggakan saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberi penerangan lagi.

“Walau apa pun, saya tetap bertegas mahu memastikan kempen dijalankan secara bersih,” katanya di Port Dickson, hari ini.

Mohd Saiful Bukhari, 33, adalah bekas pembantu khas calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Jun 2008, usahawan muda itu membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah, namun beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Saiful Bukhari mempertahankan pendirian semua calon PRK Parlimen Port Dickson berhak berkempen bagi meraih sokongan dan undi secara adil.

Katanya, hak berkenaan perlu dilakukan tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, supaya setiap calon yang bertanding diberi peluang berkempen sama rata.

“Saya berterima kasih kepada Pengerusi SPR kerana memahami semua calon perlu diberi peluang berkempen secara sama rata,” katanya di sini, hari ini.

Azhar dalam satu kenyataan semalam, menyarankan pihak kem tentera dan Kementerian Pertahanan memberi peluang berkempen sama rata kepada semua calon, tertakluk kepada prosedur keselamatan kem.

Katanya, adalah tidak adil sekiranya seseorang calon itu dibenarkan masuk berkempen dalam kem tentera manakala calon lain dilarang berbuat demikian.

From: Veena Rusli

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 5:54pm
d