mutakhir

Tambah baik laluan Terowong Menora-Kuala Kangsar

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

KERAJAAN Perak akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mencari jalan untuk membuat penambahbaikan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terutama di laluan antara Terowong Menora dan Kuala Kangsar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari berkata, kajian akan dilakukan untuk membuka laluan baharu dan mencari jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

“Memang ada cadangan sebelum ini (tambah baik) dan jika kita perhatikan memang ada penambahbaikan di kawasan terbabit antaranya kita pasang lampu limpah, sekarang ini kawasan jalan lebih terang berbanding dahulu.

“Beberapa ciri keselamatan lain akan dibuat dan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya pada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, hari ini.

Abdul Yunus berkata demikian ketika ditanya penambahbaikan atau langkah yang bakal dilaksanakan berikutan kematian lima orang termasuk bayi dalam kemalangan di Kilometer 255.3 PLUS arah utara, kelmarin.

Beliau mewakili kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan itu.

Ditanya mengenai cadangan Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (JELAS) yang pernah diutarakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, Abdul Yunus berkata, perkara itu akan dibawa dalam perbincangan.

“Memang kita sedia maklum ada dengar cadangan pembinaan lebuh raya baharu yang menghubungkan Selama ke Jelapang atau dinamakan JELAS. Mungkin kita akan kaji semula dan buat pertimbangan untuk melihat kesesuaiannya. Kita akan bekerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Cadangan pembinaan lebuh raya berkenaan dimulai pada 2010 dan akan mempunyai 13 persimpangan di sepanjang 116 kilometer di mana sembilan daripada persimpangan itu berada di Perak serta terdapat sebuah terowong sepanjang tiga kilometer merentangi Banjaran Bintang yang juga terowong yang terpanjang di Asia.

Katanya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk meningkatkan rondaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju.

Disiarkan pada: October 8, 2018 @ 6:24pm
d