mutakhir

Dalam pantang pun hisap dadah?

Oleh Nur Syazwana Mansor

Ibu yang masih dalam pantang dan suaminya ditahan selepas didapati positif dadah jenis opiat dalam operasi khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sik, semalam.

Ketua AADK Daerah Sik, Roslin Baharom berkata, operasi yang diketuai oleh Azman Hassan bersama tiga anggota yang lain menjalankan pemantauan dan menahan pasangan terbabit bersama seorang anak berusia empat tahun di pekan Sik.

Roslin berkata, pasangan berusia 45 dan 31 tahun itu ditahan selepas mendapat aduan daripada orang awam yang menyedari mereka bersama seorang anak sering kelihatan mencurigakan.

Katanya, hasil siasatan mendapati mereka mempunyai empat anak berusia 34 hari hingga sembilan tahun.

“Anak sulung dan kedua kini dijaga oleh nenek mereka di Kuala Pegang, Baling, manakala bayi berusia 34 hari dilaporkan berada di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani setelah didapati mengalami komplikasi akibat penagihan oleh ibunya.

“Pasangan ini juga dikatakan terbabit dengan penagihan dadah sejak beberapa tahun lalu namun belum mempunyai rekod tangkapan.

“Suami bekerja sebagai buruh manakala isteri tidak berkerja dan mereka hidup berpindah-randah," katanya.

Katanya, pasangan suami isteri terbabit bersama anak itu kemudian dibawa ke Pejabat AADK Daerah Sik untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis opiat dan akan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Anak mereka pula diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik untuk penjagaan sementara sebelum tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 8:46am
d