mutakhir

Air pasang besar di Selangor

Oleh Norrasyidah Arshad

FENOMENA air pasang besar di kawasan persisiran pantai di beberapa daerah di Selangor, hari ini, tidak menjejaskan rutin harian penduduk.

Malah, aktiviti harian penduduk di sekitar Sabak Bernam sehingga ke Sepang berjalan seperti biasa, meskipun terdapat peningkatan paras air.

Tinjauan NSTP di Jeti Awam Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, mendapati paras air naik dari kebiasaan, namun ia terkawal.

Sementara itu, di Kapar, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, air pasang pagi tadi tidak menjejaskan daerah itu.

Katanya, ban yang dikesan terhakis sejak beberapa hari lalu juga tetap kukuh selepas kerja penambakan dibuat.

“Pada pagi tadi, pemantauan dibuat dari jam 4 pagi hingga 7 pagi dengan keanggotaan seramai 91 anggota dari pelbagai agensi.

“Setakat ini keadaan terkawal dan pada petang ini, kira-kira jam 4 petang, kita akan lakukan rondaan sekali lagi,” katanya kepada NSTP.

Difahamkan, paras air pasang pagi ini mencecah 5.5 meter pada jam 6.02 pagi.

Ia dijangka setinggi 5.2 meter apabila air pasang sekali lagi, pada 6.21 petang.

Semalam, Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, penduduk 10 kampung sekitar daerah itu berdepan risiko banjir sekiranya hujan dan ribut berlaku serentak.

Beliau berkata, ia berikutan fenomena air pasang besar yang dijadualkan bermula hari ini.

“Bagaimanapun, sekiranya hujan tanpa adanya ribut, banjir berkemungkinan tidak akan berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 9:32am
d