mutakhir

Hilang lepas ke sungai, awal pagi

Oleh Khalid Latip

TIDAK berbaju, berseluar pendek dan hanya berbekalkan sebilah parang sebelum meninggalkan rumah.

Mangsa juga dikatakan keluar rumah dan pergi ke sungai seorang diri, pada jam 4.30 pagi.

Itu kelakuan pelik seorang lelaki sebelum dilaporkan hilang di Sungai Engkabang, Krian, di Saratok, pagi kelmarin.

Sehingga kini, Junaidy Lunsa Dugat, 49, masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki itu daripada ahli keluarganya, pada 1.50 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, susulan itu, operasi menyelamat dan mencari (SAR) dilancarkan dengan disertai polis, bomba dan dibantu penduduk rumah panjang di sekitar lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui sehingga jam 6 petang semalam sebelum operasi disambung semula jam 8 pagi ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat berkata, pasukan penyelamat ada menemui kesan tapak kaki berhampiran sungai dipercayai milik lelaki itu.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada mangsa lemas atau hilang di hutan,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 9:49am
d