mutakhir

Reda hadapi duka

Oleh Hassan Omar

Melaka: “Saya tidak pernah kesal dengan musibah kebakaran yang menimpa keluarga kerana ia ketentuan Allah SWT dan tabah menempuh kesukaran untuk membaiki rumah yang rosak.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri dari api yang menyambar dapur dan berjaya memadamkan api, sebelum ia memusnahkan keseluruhan rumah,” kata Mohd Sharil Abdul Aziz, 33, yang terselamat dalam kebakaran rumahnya di Pantai Rombang, Tanjung Kling di sini, 21 September lalu.

Selepas kejadian jam 3.30 pagi itu, bapa kepada lima anak terbabit belum mampu untuk menjalankan kerja pembaikan di sebahagian besar ruang dapur rumahnya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur selepas menerima bantuan daripada Tabung Bencana Negeri Melaka untuk membeli beberapa bahan binaan bagi membaik pulih kerosakan rumah.

“Isteri (Norazura Roslan) membuat rayuan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk mendapatkan bantuan membaiki kerosakan rumah dan pihak terbabit memberi maklum balas akan meninjau keadaan rumah kami terlebih dulu,” katanya ketika ditemui semalam.

Sejak kejadian itu, Mohd Sharil dan anggota keluarganya kini terpaksa menumpang di kediaman ibunya, Rukyah Manaf, 57, bersebelahan rumahnya.

Katanya, sebagai pekerja kontrak syarikat penyelenggaraan, dia hanya mempunyai pendapatan jika syarikat itu mendapat projek daripada Petronas Penapisan di Tangga Batu.

“Pada hari tiada kerja, saya mencari upah memotong rumput di rumah penduduk kampung sekitar Pantai Puteri, Bukit Darat dan Tangga Batu,” katanya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Sharil di talian 017-3124351 atau Rukyah 017-3300973.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 11:23am
d