mutakhir

Baru 3 tahun tapi dah 10 kali kemo

Oleh HM Digital

Bachok: “Perubahan ketara anak daripada seorang yang aktif dan ceria bertukar pendiam petanda dia menghidap kanser darah atau leukimia sejak Disember tahun lalu.

“Akibat penyakit ini, anak sudah menjalani lebih 10 kali rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” kata Roshashimah Yusoff, 34, ibu kepada Nur Yusra Ainul Mardiah, 3.

Ibu empat anak itu, berkata anak bongsunya dikesan menghidap leukimia selepas tidak aktif dan banyak berdiam diri.

Katanya, dia mendapati perut anaknya kelihatan buncit dan mengesyaki mungkin anaknya sakit sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Kuchelong di sini, untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil ujian darah pada awalnya mendapati anak suspek leukimia dan perlu mendapat rawatan segera.

“Anak kemudian perlu menjalani rawatan dan sejak disahkan sakit, lebih 10 kali dia menjalani kemoterapi. Akibatnya rambut anak sering gugur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Tok Majam,di sini, semalam.

Katanya, disebabkan anaknya kerap mendapatkan rawatan di HUSM, suaminya, Mohd Afidi Muda, 38, yang bekerja sebagai pemandu treler terpaksa bercuti tanpa gaji sejak Disember lalu.

Menurutnya, mereka kini hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan ahli keluarga serta penduduk kampung.

“Walaupun kos ulang alik ke hospital membebankan, kami akan berkorban demi kesihatan anak bongsu.

“Kami harap anak kembali sihat serta dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain dan perlu menjalani rawatan selama dua tahun lebih,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 12:09pm
d