mutakhir

'Saya reda tapi tolong kaji SOP' - Ibu arwah Mazlan

Abdul Rahemang Taiming

IBU Allahyarham Mazlan Omarbaki, anggota bomba yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lemas di lombong di Puchong, Selangor, minggu lalu, berharap kerajaan memperkemas dan mengkaji tatakerja serta prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Asmah Abdalis, 54, berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kejadian sama berulang, selain memastikan keselamatan setiap anggota bomba yang terbabit dalam sebarang operasi jabatan itu yang terdedah dengan pelbagai risiko.

“Memang mak cik sedih, tetapi kalau boleh biarlah kerajaan atau bomba kaji balik tatakerja (operasi) sebab kerja bomba memang bahaya.

“Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, malah berbangga kerana arwah Mazlan ‘pergi’ ketika bertugas untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

“Walaupun perasaan sedih kerana pemergian arwah yang masih muda, tetapi kami reda atas qada dan qadar yang tertulis untuknya kerana kami sekeluarga yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di Tawau, hari ini.

Dalam kejadian malam Rabu lalu, Mazlan, 25, bersama lima rakan setugas dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) lemas ketika melakukan operasi SAR terhadap remaja berkenaan di kawasan lombong itu.

Allahyarham Mazlan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Klang.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 1:45pm
d