mutakhir

Bapa saudara durjana

Oleh Mohd Hilmie Hussin

LELAKI dipenjara 10 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tuduhan merogol anak saudara perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU), Ogos tahun lalu.

Tertuduh berusia 58 tahun yang sepatutnya dibicarakan hari ini membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika berusia 57 tahun didakwa melakukan sumbang mahram dengan anak saudara perempuannya berusia 17 tahun di sebuah rumah di Jalan Felda Air Kangkong, Selandar, Jasin, kira-kira jam 6 petang pada 18 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim yang mengendalikan kes itu mencadangkan hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh bersama sebatan mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, Elesabet memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 tahun bermula dari tarikh ditangkap, iaitu pada 18 Ogos 2017.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 3:37pm
d