mutakhir

Polis cari Abd Khamid Mohd Al Ghazali Palut

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS Johor memburu lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan berhubung penipuan pakej perkahwinan membabitkan kerugian hampir RM300,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Khalil Mohd Kader berkata, suspek Abd Khamid Mohd Al Ghazali Palut yang beralamat di Bandar Puncak Alam, Selangor dikehendaki bagi siasatan kes Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, setakat ini 45 laporan polis dibuat ke atas syarikat perancang perkahwinan dari Jumaat lalu hingga semalam.

“Empat kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 KK membabitkan daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Seri Alam, Kulai dan Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Khalil berkata, jumlah kerugian membabitkan semua mangsa setakat ini RM263,094.

“Hasil siasatan mengenalpasti suspek lelaki disyaki pemilik syarikat berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek masih diteruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen (JSJK) Johor,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dikehendaki berhubung dengan Deputi Superintendan Azlan di talian 07-2254656.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 5:33pm
d