mutakhir

'Jangan pertikaikan hak Agong' [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berkenan memberi pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dihormati oleh semua pihak.

Justeru, kelayakan Anwar bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak sewajarnya dipertikaikan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sudah jelas termasuk rakaman Jabatan Penjara Malaysia pada hari pembebasan Anwar yang menjelaskan Ketua Umum PKR itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah selepas mendapat pengampunan.

"Kita perlu hormati Yang di-Pertuan Agong yang memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

"Sepatutnya tidak timbul isu sama ada beliau layak bertanding sebagai calon atau tidak.

"Jangan kita pertikaikan hak baginda mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengampunan kecuali mereka (yang mendakwa itu) nak sembah derhaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Parlimen Port Dickson di Port Dickson, hari ini.

Fahmi berkata, demikian ketika mengulas kempen ceramah PAS yang terus menjadikan isu pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar sebagai modal dalam menidakkan hak beliau bertanding pada PRK Port Dickson.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dalam kempen ceramahnya dilaporkan berkata, Anwar hanya diberikan pengampunan penuh dan bukannya pengampunan bebas mengikut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pendengaran saman pemula difailkan seorang pengundi berdaftar di Port Dickson bagi mendapatkan pengisytiharan Anwar tidak layak menjadi calon pilihan raya ditetapkan pada 8 November ini.

"Saya baru dapat makluman daripada seorang ahli kita yang berada di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi bahawa kes (saman pemula) ditunda 8 November," katanya.

Pada 28 September lalu, seorang pengundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff, 38, mengemukakan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2014 oleh Mahkamah Rayuan, dibebaskan dari penjara dan mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 6:08pm
d