mutakhir

Lelaki ditemui rentung dalam rumah

Oleh Razif Rosli

SEORANG lelaki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Pusing Baru, Batu Gajah, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 malam, mangsa berusia 30-an dipercayai cuba untuk menyelamatkan diri, namun gagal berbuat demikian kerana asap tebal.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemui selepas pihaknya selesai memadam api jam 9.20 malam.

Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 8.56 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah dengan bantuan anggota BBP Pasir Puteh bergegas ke lokasi.

“Kejadian membabitkan sebuah rumah yang terbakar di bahagian tengah hingga ruang depan.

“Sebaik api dipadamkan sepenuhnya, anggota membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung di hadapan pintu depan rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, awal pagi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati rumah mangsa dipenuhi dengan bahan untuk bersembahyang yang mudah terbakar dan ada kemungkinan mangsa menjual peralatan sembahyang.

“Pasukan Forensik JBPM masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 12:45am
d