mutakhir

Mangsa banjir Kedah meningkat

Oleh Suzalina Halid

JUMLAH mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 643 orang daripada 196 keluarga yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir yang melanda di tiga daerah sejak Isnin lalu.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi berkata, sehingga pagi tadi, tiga daerah yang masih terjejas akibat banjir membabitkan Kota Setar, Baling dan Kubang Pasu dengan PPS dibuka berperingkat sejak Isnin.

Beliau berkata, di Kota Setar sahaja sebanyak empat PPS dibuka yang menempatkan 395 mangsa dari 129 keluarga di Surau Al-Syakirin (60 mangsa); Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung (102); SK Titi Gajah (194) dan SK Suka Menanti (39).

“Di Baling pula, seramai 184 mangsa banjir di tempatkan di enam daripada tujuh PPS yang dibuka di Baling iaitu di Dewan RISDA Kampung (Kg) Tanjung Pari (32); D.O.R Keda Batu Lapan (21); Dewan Kg Weng Luar (31); Dewan Batu 60 (44) dan D.O.R Kg Banggol Derom (56) manakala SK Siong yang dibuka sejak semalam pula tidak lagi menempatkan mangsa banjir dan sudah ditutup.

“Terdapat satu PPS di Kubang Pasu yang dibuka sejak Isnin lalu iaitu di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu yang menempatkan 64 mangsa, ” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa banjir selain memantau keadaan bencana ini dari semasa ke semasa.

Katanya, pihaknya turut dimaklumkan oleh pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bahawa paras takungan Empangan Muda mencapai tahap 100 peratus penuh yang direkodkan sejak semalam.

“Berlaku juga limpahan air yang mengalir melalui lembangan Sungai Muda dan akhirnya disalurkan ke lautmelalui Kuala Muda namun pihak MADA akan memantau situasi ini, ” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 11:30am
d