mutakhir

Lagi bakal pengantin ditipu syarikat katering

Oleh Shahrinnahar Latib

BAKAL pengantin kerugian RM5,000 selepas ditipu syarikat katering terkenal yang menawarkan pakej perkahwinan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada Julai tahun lalu, mangsa wanita berusia 25 tahun tertarik dengan iklan perkhidmatan katering yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan untuk majlis perkahwinannya pada Mac 2019.

“Mangsa berhubung dengan pekerja syarikat berkenaan untuk menempah pakej bernilai RM11,800, namun diminta untuk membayar deposit sebanyak RM5,000.

“Pada Mac lalu, mangsa pergi ke pejabat syarikat berkenaan di Kuantan bagi urusan pembayaran deposit dan membuat bayaran tunai sebanyak RM5,000 kepada kakitangan syarikat berkenaan dan diberikan resit pembayaran.

“Bagaimanapun, baru-baru ini mangsa ada mendapat maklumat mengenai syarikat itu daripada beberapa individu yang mendakwa pernah menjadi mangsa dan pengalaman mereka tular di laman sosial,” katanya di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, susulan maklumat itu, mangsa menghubungi beberapa pekerja syarikat terbabit, namun semuanya gagal dihubungi.

“Mangsa yang curiga dan bimbang perkara yang sama berlaku kepadanya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan pakej perkahwinan yang tidak wujud sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian. Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan dan sedang mengesan suspek terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 1:31pm
d