mutakhir

'Nightstream' sasar 1 juta muat turun

Oleh Balqis Lim

MEDIA Prima Labs yang menjalinkan kerjasama dengan Streamline Games mensasarkan sebanyak satu juta muat turun bagi aplikasi permainan terbarunya, Nightstream.

Berbeza daripada Temple Run dan Subway Surfers, permainan larian generasi seterusnya itu tidak sekadar menghadkan pengguna berlari di atas jalan, tetapi juga dinding dan siling.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital Rafiq Razali berkata, pihaknya tidak menetapkan jangka masa tertentu bagi mencapai sasaran itu, namun yakin aplikasi permainan telefon pintar berkenaan mampu mencapainya.

“Kami teruja dengan kerjasama dengan Streamline Games kerana mereka adalah syarikat bertaraf AAA dengan ‘track record’ yang menakjubkan dalam membangunkan permainan video.

“Streamline Games memberi fokus untuk membangunkan permainan ini, manakala Media Prima Digital menggunakan kekuatan sebagai syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia untuk mempromosi Nightstream kepada pasaran serta mengulangi kejayaan produk Ejen Ali dan Mak Cun’s Adventure.

“Walaupun tiada jangka masa tertentu yang ditetapkan, kami sangat yakin Nightstream mampu mencapai satu juta muat turun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi Nightstream di Kuala Lumpur, hari ini.

Streamline Games pernah menyumbang dalam beberapa permainan popular seperti Final Fantasy XV, Street Fighter V dan BioShock Infinite.

Rafiq berkata, sebagai syarikat yang berpusat di Malaysia, kerjasama dengan Streamline Studios mampu membantu pakar permainan tempatan dan industri itu sendiri.

Sejak dikeluarkan pada 15 September lalu, Nightstream berjaya mencatatkan sebanyak 6,000 muat turun sehingga hari ini.

Permainan itu membabitkan beberapa pelari yang juga pasukan penentang yang bertekad melawan kejahatan Metronite Corporation yang mahu mengawal Nightstream, iaitu satu pangkalan data strim untuk diri mereka sendiri.

Pasukan penentang Nightstream terdiri daripada Zara, seorang wanita muda Hijabista yang juga barista sambilan dan pelari sepenuh masa yang mahu menegakkan keadilan terhadap Metronite selepas satu kemalangan industri mengorbankan nyawa adiknya.

Zara mungkin kelihatan keras kepala dan degil, namun pelari lain akan dapat melihat bahagian dirinya yang lembut dan kurang serius.

Lebih ramai karakter lain akan muncul dalam beberapa bulan akan datang, dan pemain perlu menunggu untuk kemas kini seterusnya.

Sementara itu, Penerbit Bersekutu Nightstream, Izzal Imaani berkata, aplikasi itu menepati minat penggemar permainan telefon pintar.

“Saya teruja untuk melihat pandangan rakyat Malaysia terhadap permainan ini. Kami amat teliti terhadap aspek mekanik permainan ini dan harap pemain akan menikmatinya.

“Bukan mudah untuk menetapkan mekanik permainan ini, khususnya membabitkan tindak balas kawalan dan ‘power-up’, tetapi kami memastikan hasilnya sempurna,” katanya.

Nightstream boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play.

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 11:20pm
d