mutakhir

Nasib baik selamat

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PANIK melihat paras air semakin meningkat dan bimbang kereta terperangkap dalam banjir kilat, dua wanita warga emas bertindak menghubungi polis sebelum diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian di Taman Sentosa, dekat Johor Bahru, petang tadi.

Kejadian berlaku ketika beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat dengan banyak jalan utama dinaiki air sehingga lebih satu meter susulan hujan lebat kira-kira dua jam bermula jam 3 petang.

Dua wanita berusia 75 dan 85 tahun yang beralamat di Kebun Teh, pada mulanya mengharungi air banjir dengan kereta jenis Chevrolet.

Bagaimanapun ketika tiba di pertengahan jalan, paras air semakin meningkat menyebabkan kedua-dua wanita terbabit menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang kereta mereka ditenggelami air.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Zaid Iskandar Mohd Nor, berkata pihaknya menerima laporan dari polis mengenai kejadian itu pada jam 4 petang sebelum sebuah jentera bomba dengan 11 anggota dihantar ke tempat kejadian bagi membantu mangsa.

“Banjir melanda kawasan berkenaan susulan hujan lebat beberapa jam bermula 3 petang tadi mengakibatkan air naik sehingga kira-kira 1.5 meter.

“Melihat air semakin dalam, wanita terbabit terus panik dan pada ketika itu mereka hanya teringat untuk menghubungi pihak polis. Sewaktu kejadian, pihak polis segera menghubungi pihak bomba memaklumkan ada mangsa terperangkap dalam kereta ketika banjir,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Zaid Iskandar berkata, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan dengan kereta mereka turut dibawa ke kawasan lebih rendah dan dan tidak mengalami sebarang kecederaan

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya kira-kira jam 4.31 petang tadi,” katanya.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan sementara banjir dibuka di Sekolah Kebangsaan Nong Chik, dekat sini bagi menempatkan penduduk dari Kampung Mohd Amin.

Sehingga jam 8 malam ini, pihakAngkatan Pertahanan Awam (APM) masih menjalankan proses pendaftaran mangsa banjir dan jumlah sebenar masih belum dikenal pasti.

Banjir kilat turut dilaporkan di kawasan Kampung Hajah Hasnah, Kampung Bendahara, Jalan Kijang dan Kampung Melayu, dekat sini, selain beberapa jalan utama turut ditenggelami air tetapi setakat ini tiada jalan yang ditutup.

Seramai 107 penghuni Rumah Perlindungan Warga Emas Sri Kenangan di Ungku Mohsin, di sini turut dipindahkan ke blok lain apabila

berlaku tanah runtuh di kawasan terbabit.

-tamat

From: Junita

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 11:28pm
d