mutakhir

'Lihat kejayaan saya dalam 100 hari'

Oleh Hidir Reduan Abdul Rashid dan Ahmad Suhael Adnan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mahu pengkritiknya menilai kejayaannya sepanjang menerajui portfolio berkenaan di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, mereka perlu berbuat demikian sebelum menghambur kritikan tidak berasas, termasuk menggesanya meletak jawatan.

Katanya, ada antara mereka yang mengkritik cuba melakukan pembunuhan karakter dengan merendahkan kredibilitinya apabila berterusan menggunakan isu berkenaan walaupun ia tidak lagi relevan.

“Orang yang kata saya tidak layak, dia hanya perlu buat sedikit kajian dan membaca apa yang telah kita laksanakan daripada melihat berita yang tak betul pun.

“Macam mana anda buat penilaian berdasarkan berita yang tak betul dan anda minta saya bertindak letak jawatan.

“Saya tak nafikan, ada yang kritik itu bukan kerana agenda peribadi, tetapi ada kelompok yang cuba buat pembunuhan karakter dengan merendah dan menghina kita.

“Kupasan di media sosial ini, mereka lebih alim dan mungkin juga ramai calon menteri di luar sana,” katanya ketika temu bual dalam program Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 semalam.

Mujahid berkata, walaupun isu serbuan khalwat dibangkitkannya mencetuskan polemik, namun ia juga membuka ruang untuk pelbagai pihak, khususnya penguatkuasa agama berbicara mengenai kelemahan operasi maksiat yang tidak dibicarakan sebelum ini.

Mengenai kejayaannya dalam tempoh 100 hari, Mujahid berkata, antaranya adalah mendapat pujian kerajaan Arab Saudi atas pelaksanaan kempen program Kempen Kebersihan Perdana ketika menguruskan 37,200 jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah baru-baru ini.

“Kejayaan lain termasuklah saya diberi penghargaan untuk menyampaikan ucaptama pada Festival Halal di Sarajevo baru-baru ini, selain Malaysia turut diberi peluang menyampaikan syarahan awam di Universiti Sarajevo.

“Saya juga berjaya mendamaikan perselisihan antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ketegangan mereka berisiko terhadap masyarakat pelbagai agama di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada beliau serik untuk menyantuni masyarakat seperti golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) sebelum ini yang juga mencetuskan kontroversi, Mujahid berkata tidak perlu rasa serik jika bertindak atas prinsip.

“Dalam konteks rahmatan lil alamin (rahmat seluruh alam), kita marah pada dosa, tapi tidak boleh kita marah pada pelaku dosa kerana mereka perlu ditegur dan diberi nasihat, bukan dimaki,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 12:14am
d