mutakhir

'Tang saya kena marah saja'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Port Dickson: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya mengumumkan beberapa program untuk rakyat Port Dickson tidak melanggar peraturan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ketua Umum PKR yang juga calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tindakan berkenaan sama seperti dilakukan calon lain yang berusaha menerangkan manfaat bakal diperoleh penduduk setempat jika dipilih menjadi wakil rakyat.

“Ada pula yang buat laporan polis. Takkan saya nak beli undi untuk beri tuisyen percuma ini saja (sedangkan) ada calon lain kata kalau dia menang kita bersihkan pantai.

“Samalah juga usaha saya, tapi tang (bila) saya (buat), kena marah saja.

“Kalau orang tanya, kamu jadi Ahli Parlimen nak buat apa? Tak bolehlah cakap doa saja. Saya menang, mesti saya buat sesuatu.

“Orang tanya lagi, apa dia sesuatu? Takkan saya nak jawab tak boleh cakap (apa perancangan),” katanya pada ceramah kempen pilihan raya di Bandar Baru Sunggala di sini, malam kelmarin.

Isnin lalu, calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong, membuat laporan polis mendakwa Anwar melanggar Akta Pilihan Raya 1954 sepanjang kempen.

Katanya, tindakan Anwar menjanjikan projek besar dan melancarkan program tuisyen percuma selain memperoleh projek pelancongan lima bintang dan program latihan penerbangan, melanggar peraturan kempen bersih dan telus.

Anwar berkata, pembabitannya dalam politik sejak 1982 menjadikannya amat memahami dan menghormati undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negara ini.

Katanya, ia berbeza dengan pendekatan kempen PRK kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menggunakan menteri untuk mengumumkan projek mega bagi memenangi hati pengundi.

“Dulu (kerajaan BN) menteri datang umum kita bina projek RM100,000. Buat tak buat belakang kiralah, dia umum dulu.

“Kita tak buat sebab saya hormat SPR, saya hormat pandangan gerakan BERSIH supaya PRK itu dijalankan secara bersih,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 9:50am
d