mutakhir

Rakan FB hantar hadiah konon

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

GURU tuisyen kerugian RM55,000 selepas terpedaya dengan sindiket ‘parcel scam’ di Facebook (FB) yang dikatakan mahu menghantar hadiah dari luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing berkata, mangsa berusia 30-an itu pada mulanya menerima panggilan daripada individu menyamar daripada syarikat kurier pada 1 Oktober lalu memaklumkan kenalan FBnya ada menghantar bungkusan hadiah.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa harus membayar kos penghantaran jika ingin menuntut barangan itu.

"Bagaimanapun selepas membuat bayaran pertama, sindiket terbabit sekali lagi menghubungi mangsa dan memberitahu menjumpai satu jumlah wang yang banyak dikesan di dalam bungkusan itu.

"Malah jika mangsa tidak membayar sejumlah wang dia akan dituduh di mahkamah menyebabkan dia yang ketakutan kemudian membuat bayaran keseluruhan sebanyak RM55,000 selama dua hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran mereka berjanji akan menghantar barangan itu menggunakan van keselamatan.

"Bagaimanapun barang itu tidak diperoleh dan mangsa yang mengesyaki ditipu kemudian tampil membuat laporan polis pada 6 Oktober lalu.

"Siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 10:38am
d