mutakhir

Kejadian aneh cabar penyelam bomba

Oleh Mohd Rafi Mamat

DIGANGGU makhluk halus antara cabaran dihadapi anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) setiap kali menjalankan operasi mencari mangsa lemas.

Ia diakui bekas Ketua Unit Selaman Pahang, Pegawai Bomba Kanan Satu, Ab Rahman Safi, 59 yang pernah berdepan pelbagai gangguan itu sama ada secara serius atau sebaliknya bergantung kepada lokasi kejadian.

Beliau yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Jalan Rompin Lama, Pekan

berkata, selama tujuh tahun mengetuai unit selaman yang kini dikenali sebagai PPDA Pahang, banyak kejadian aneh berlaku yang dianggap begitu mencabar.

Bapa kepada tujuh anak itu, pernah berlaku kejadian dia melihat wanita berada di atas batu besar ketika melakukan operasi mencari mangsa lemas di kawasan air terjun di Lipis, sedangkan tempat itu jauh dari penempatan.

"Pengalaman operasi mencari mayat wanita berusia 20 tahun yang lemas ketika mandi di Taman Eco Rimba Chamang, Bentong, 18 tahun lalu, selama 52 hari turut diganggu makhluk halus yang dikatakan penunggu air terjun itu.

"Ketika menyelam saya mendengar seperti ribut dan petir yang kuat dalam air... selepas kejadian itu saya mengarahkan supaya aktiviti menyelam tidak dilakukan lagi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Selepas kejadian berkenaan, saya dan enam anggota unit selaman lain hanya melakukan pemantauan di permukaan air sahaja selama kira-kira 45 hari sehinggalah mayat gadis terbabit timbul di kawasan lubang tempat dia jatuh dalam keadaan tanpa kepala," katanya ketika ditemui Pekan, hari ini.

Ab Rahman berkata, cabaran serta risiko bertugas di dalam air sememangnya tinggi dan berbahaya berbanding menjalankan tugas seperti memadam kebakaran dan mengeluarkan mangsa kemalangan.

"Sedikit kesilapan dilakukan ketika berada di dalam akan mengundang musibah, justeru setiap detik keselamatan diberi keutamaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jabatan.

"Saya berharap anggota PPDA perlu sentiasa beringat ketika melakukan operasi di air sama ada di sungai, air terjun, lombong dan laut bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan kemalangan," katanya yang berasal dari Jerantut.

Ab Rahman yang pernah terbabit dengan operasi menyelamat mangsa feri terbakar di Pulau Tioman berkata, kejadian penyelam tersangkut pada kayu dan pukat boleh berlaku kerana jarak penglihatan di dalam air terbatas.

"Bagi penyelam beragama Islam saya menasihatkan mereka supaya dapat menghafal ayat al-Quran dan doa dijauhkan perkara buruk sebelum memulakan tugas di air, jangan bersikap terlalu yakin dan berani.

"Selalu mengingati Allah dan memohon supaya dipermudahkan segala urusan dan tugas dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 10:56am
d