mutakhir

Oktoberfest dibenarkan dengan syarat

Oleh Nadia Hamid dan Esther Landau

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada penganjur pesta arak, Oktoberfest yang melanggar peraturan atau mengganggu ketenteraman awam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penganjur tidak dibenarkan menaikkan sebarang poster, ‘bunting’ atau mempamerkan sebarang bentuk promosi di luar premis atau di luar lokasi penganjuran.

Beliau berkata, ia susulan DBKL tidak meluluskan sebarang permit yang membolehkan penganjuran itu diadakan secara terbuka di lokasi awam.

“Selagi ia dianjurkan di dalam premis, pengunjung tidak keluar dalam keadaan mabuk sehingga mengganggu orang awam, dibenarkan.

“Tetapi kalau (pasang) sebarang bentuk promosi di tempat awam seperti banner dan poster, kita (DBKL) akan turunkan serta-merta,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan KL 2018, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas penganjuran OktoberFest 2018 secara besar-besaran di pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, dengan pengisian festival makanan, hiburan, muzik dan arak, yang dijangka bermula hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan salah guna promosi ketika penganjuran.

Ketika ditanya adakah DBKL meluluskan permit penganjuran terbuka acara tahunan itu, Nor Hisham mendakwa tidak menerima sebarang permohonan.

Tahun lalu, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi cita rasa pengunjung.

Penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Jerman, Denmark, Norway, Jepun, Thailand dan Vietnam.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 1:49pm
d