mutakhir

'Dah empat hari suami tak balik'

Oleh Safuri Kamarudin

PENOREH getah dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu selepas keluar ke kebun untuk menoreh.

Isterinya, Saliah Abd Rahman, 48, berkata, sebelum kejadian, suaminya, Abdullah Awang Merah, 55, sempat berpesan supaya dia menutup pintu rumah dengan baik dan jangan memberitahu anak sekiranya dia tidak pulang.

“Saya sendiri tidak tahu sebab apa dia berpesan begitu padahal dia hendak ke kebun menoreh getah.

“Suami keluar rumah 5.30 pagi Isnin lalu selepas minum kopi, malah dia mengejut saya setengah jam lebih awal dan meminta membancuh kopi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Dan, Kupang, Baling, hari ini.

Saliah berkata, dia juga tidak ada perselisihan faham dengan suami sebelum ini dan menuruti pesanan suaminya supaya tidak memaklumkan kepada anak-anak.

“Bagaimanapun kerana bimbang suami tidak pulang sampai tiga hari lalu, saya membuat laporan polis semalam di Balai Polis Kupang.

“Kami cuba menghubungi telefon suami, namun gagal,” katanya.

Penghulu Mukim Kupang/ Pulai, Badrul Hisham Che Li, berkata, usaha mencari dilakukan pagi ini dengan kerjasama penduduk kampung, Anggota Pertahanan Awam (APM), polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, selain mencari di hutan pihaknya juga berusaha mencari di Betong Selatan Thailand kerana ada kemungkinan mangsa ke rumah ahli keluarga di sana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf mengesahkan menerima laporan itu dan usaha mencari mangsa sedang dijalankan.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 3:05pm
d