mutakhir

Caj tambahan untuk pelanggan korporat sahaja

Oleh Asmah Rusman

POS Malaysia mengesahkan akan mengenakan caj pemprosesan tambahan RM5 bagi memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Menurutnya, caj tambahan itu hanya dikenakan kepada pelanggan korporat mereka bermula 15 Oktober ini.

"Pos Malaysia mengambil maklum mengenai gambar notis pengumuman yang tular membabitkan caj tambahan berkenaan.

"Notis itu ditujukan kepada pelanggan korporat seperti wakil bank, syarikat kewangan, insurans atau takaful, syarikat jualan kereta baru dan terpakai.

"Namun begitu, tiada caj tambahan akan dikenakan bagi pelanggan individu," katanya dalam kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Notis pemberitahuan berhubung caj tambahan berkenaan dikongsikan di Twitter dan Instagram.

Perkongsian itu mendapat maklum balas netizen yang mendakwa kadar perkhidmatan pengeposan barangan disediakan Pos Malaysia juga bakal dinaikkan susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, menjawab dakwaan itu Pos Malaysia menafikannya dan memaklumkan kadar produk dan perkhidmatan Pos Laju kekal seperti sedia kala.

Disiarkan pada: October 11, 2018 @ 5:18pm
d