mutakhir

[UPDATE] Identiti lima mangsa dikenal pasti

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS sudah mengenal pasti identiti lima mangsa yang rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, pengesahan dibuat berdasarkan laporan keputusan ujian asid deosiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, pemandu kenderaan itu adalah wanita dikenal pasti sebagai Yew Poi Shy, 37, dan bayi lelakinya, Yew Yi Chen, 12 bulan.

Katanya, tiga lagi ialah lelaki penumpang hadapan, Teo Wee Tatt, 46, serta dua wanita penumpang belakang iaitu Shaw Swee Me, 42, dan Lee Len Ying, 60.

“Laporan spesimen darah dan ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu lori berusia 41 tahun pula mendapati mengandungi amphetamin, methampetamin, diphenhydramine dan chlorpheniramine.

“Suspek akan dituduh esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas polis menerima arahan Pengarah Pendakwaan Perak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian.

Dalam kejadian 11.45 pagi Sabtu lalu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor, ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta Kia Forte ke pembahagi jalan konkrit sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Kejadian itu mengakibatkan lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai daripada empat keluarga ditemui dalam keadaan rentung akibat terbakar.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 12:41am
d