mutakhir

Nak peras ugut konon!

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Tindakan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan memeras ugut sebuah keluarga di Taman Sri Kluang di sini, membawa padah apabila ditahan polis jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa yang tinggal bersama ibunya didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Kuala Lumpur jam 7 malam kelmarin.

Menurutnya, suspek kemudian menunjukkan kad lambang polis apabila diminta mangsa yang mahu pengesahan sebelum bertanya mengenai abang mangsa dengan menunjukkan gambar sebagai helah.

“Suspek memaklumkan abang mangsa berhutang RM450,000 dan meminta mangsa menyelesaikannya tetapi gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan apabila diminta berbuat demikian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohd Abduh berkata, suspek kemudian bertegas mahu masuk ke dalam rumah mangsa tetapi dihalang mangsa sebelum kedua-dua suspek beredar menaiki kereta yang mempunyai logo polis.

Katanya, mangsa kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang membuat serbuan di hotel di Jalan Lambak di sini, jam 2 pagi.

“Dalam serbuan itu. polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun serta hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah dan dikehendaki polis bersabit kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor Bahru.

“Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua suspek negatif dadah selain turut merampas buku poket dan dua pemegang kad tertera lambang polis serta satu kad Kor Sukarelawan Polis Siswa (SUKSIS),” katanya.

Mohd Abduh berkata, polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, cota besi, beg sandang serta kereta Mercedes Benz dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM60,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Suspek ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan berkaitan kes pemerasan jenayah yang dilaporkan di daerah ini dan kawasan lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 11:31am
d