mutakhir

Laki bini tokan rupanya! [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

POLIS memberkas suami isteri dan merampas pelbagai dadah dianggar seberat 5.6 kilogram (kg) dengan bernilai RM269,250 di sebuah rumah di Changkat Jering, Taiping, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner, V R Ravi Chandran berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, kira-kira 2 petang.

“Suami isteri itu ditahan ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan yang juga rumah pusaka pasangan terbabit dan hasil pemeriksaan dijalankan polis menemui dadah jenis heroin seberat 2.93 kg, ganja (2.1 kg) dan syabu (0.55 kg).

“Suspek yang ditahan adalah lelaki (suami) berusia 51 tahun dan wanita (isteri) berusia 54 tahun yang semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ravi Chandran berkata, turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah pelbagai peralatan dipercayai digunakan suspek untuk membungkus dadah dalam paket kecil, manakala sebuah kereta Perodua Axia dianggar bernilai RM25,000 turut disita.

“Polis membuat siasatan dan intipan terhadap suspek sejak dua bulan lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti dari mana suspek mendapatkan bekalan dadah serta sudah berapa lama aktif mengedar dadah di sekitar Taiping.

“Pasangan terbabit kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 11:38am
d