mutakhir

'Hukuman mati paling sesuai'

Oleh Fazrik Kamarudin

“POLIS akan mencadangkan hukuman paling berat dijatuhkan ke atas kesalahan membabitkan pengedaran dadah, jika pemansuhan hukuman mati diluluskan kelak,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

“Jika dilihat dibawah Akta Dadah Berbahaya, ada peruntukan yang menyatakan mahkamah boleh menghukum pengedar dadah dengan hukuman penjara seumur hidup dengan tidak lebih 15 kali sebatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ketika mengulas mengenai keputusan Kabinet untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa mencadangkan hukuman paling berat dikenakan terhadap pengedar dadah.

“Secara peribadi saya berpendapat, hukuman mati adalah hukuman paling tepat untuk kesalahan mengedar dadah.

“Jika dilihat secara mendalam, pengedar dadah ini sebenarnya perlahan-lahan ‘membunuh’ penagih dadah yang membeli daripada mereka, oleh sebab itu saya rasa hukuman mati lebih sesuai.

“Bagaimanapun, saya selaku penguatkuasa undang-undang akan patuh dengan apa sahaja keputusan yang akan dibuat kelak,” katanya.

Kelmarin, kerajaan memutuskan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Sehubungan itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 1:52pm
d