mutakhir

Didakwa bunuh adik lelaki

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

TUKANG cat didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan membunuh adik lelakinya dipercayai akibat berebut menonton siaran televisyen.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Lim Hock Ann, 56, sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hock Ann didakwa membunuh Lim Hock Soon, 48, yang bekerja sendiri di ruang tamu, Flat Sri Murni, Jalan 1/20, Taman Sri Murni, Sentul, Kuala Lumpur, antara jam 4.30 dan 5 pagi, pada 6 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 12 Disember ini sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan perubatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazri Zaharinan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 2:49pm
d