mutakhir

Tiada Oktoberfest di Terengganu

Oleh Fitri Nizam

KERAJAAN Terengganu menafikan dakwaan kononnya terdapat premis di negeri ini akan menganjurkan festival arak, Oktoberfest pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri menerusi wakilnya sudah membuat kunjungan terhadap premis yang didakwa akan menganjurkan pesta itu bagi mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun beliau berkata, premis berkenaan sememangnya memiliki lesen menjual minuman keras, namun pemiliknya mengesahkan bahawa tiada sebarang sambutan Oktoberfest akan dianjurkan seperti yang didakwa.

“Saya ingin menegaskan bahawa apa yang tular di media sosial kononnya Oktoberfest akan diadakan di Kuala Terengganu adalah tidak benar.

“Sehingga kini, kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk tujuan penganjuran Oktoberfest di negeri ini.

“Justeru, kerajaan negeri akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penganjuran program berkenaan di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuatnaik di Facebook milik Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Pada tahun lalu, penganjur dilaporkan membawa masuk sebanyak 250 jenama arak pelbagai jenis dari 43 syarikat pengusaha arak untuk memenuhi citarasa pengunjung.

Penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Jerman, Denmark, Norway, Jepun, Thailand dan Vietnam.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 3:19pm
d