mutakhir

Nasib baik tak hanyut jauh [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

LELAKI warga Bangladesh bernasib baik apabila diselamatkan bomba dan orang awam ketika dihanyutkan air di Sungai Gombak, dekat pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa berada di tebing sungai dan sedang melakukan kerja penyelenggaraan sebelum dibawa kepala air sebelum hanyut kira-kira 300 meter.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Fadil Hesam Mohamed berkata, pihaknya menggunakan tali untuk menarik mangsa ke tepi sungai sebelum dibawa naik dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi.

“Daripada maklumat kami terima, sebelum kejadian, mangsa iaitu seorang lelaki warga Bangladesh berada di platform di tepi sungai berkenaan dan sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, dia dihanyutkan air sungai yang menerjah secara tiba-tiba dan hanyut sejauh kira-kira 300 meter. Kawan mangsa yang berada di tepi tebing mengikut pergerakan mangsa dari darat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bomba menarik mangsa berusia 30-an itu menggunakan tali ke tebing dengan bantuan orang awam.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa selamat dibawa naik dan dibawa ke HKL. Kami mengucap ribuan terima kasih kepada orang awam yang berada di lokasi dan membantu pihak bomba,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 7:15pm
d