mutakhir

Menteri dilarang bawa pasangan ikut lawatan ringkas [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

KABINET memutuskan jemaah menteri tidak boleh membawa pasangan bagi lawatan kerja ke luar negara kurang daripada tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana lawatan sedemikian adalah untuk bekerja dan tidak perlu membabitkan ahli keluarga khususnya isteri.

Katanya, antara garis panduan yang ditetapkan adalah sekiranya lawatan kerja kurang tujuh hari hanya dua pegawai sahaja dibenarkan mengikuti menteri terbabit.

“Kalau dengan perbelanjaan sendiri, kurang tujuh hari, boleh menteri itu bawa (pasangan).

“Bagaimanapun, arahan itu tidak tertakluk kepada Perdana Menteri berikutan isterinya mempunyai tugas-tugas sebagai isteri Perdana Menteri di negara yang dilawati. Selain daripada itu, maka jalan (lawatan) sendirian.

“Namun, jemaah menteri hanya dibenarkan membawa pasangan sekiranya lawatan kerja itu melebihi tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Bicara Minda bertajuk Ekomoni: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ia diputuskan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat kabinet.

Katanya, walaupun perkara itu nampak kecil, namun ia membabitkan budaya kerja, selain sebagai langkah penjimatan bagi perbelanjaan awam.

“Kita pergi untuk bekerja bukan bercuti, ‘shopping’ (membeli-belah), dan bermain golf.

“Saya tahu ketika saya dalam kerajaan suatu ketika dahulu, ramai menteri pergi persidangan jika hari Isnin bermula. Mereka akan datang tiga hari lebih awal untuk bermain golf dan isteri mereka pergi ‘shopping’. Tiga hari selepas persidangan tamat baru mereka balik.

“Namun, sekarang kita kena sampai pada hari persidangan dan habis sahaja persidangan, terus balik. Itu jaminan kerajaan hari ini untuk jimatkan perbelanjaan kerana membabitkan wang rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 7:43pm
d