mutakhir

Lambaian tiga jam terkandas

Oleh Suzalina Halid

SERAMAI 12 pelancong India dan Turki termasuk lima kanak-kanak berdepan detik cemas apabila mereka terkandas selama tiga jam di Pulau Beras Basah, Langkawi sebelum diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kumpulan pelancong berusia antara empat hingga 66 tahun berkenaan dikatakan mengikuti pakej ‘Island Hoping’ ke pulau terbabit sebelum terkandas.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Langkawi Leftenan (PA) Md Saifudin Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.30 petang sebelum empat anggota APM Langkawi bergegas ke tempat kejadian menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa.

“Salah seorang pelancong terbabit menghubungi talian kecemasan menggunakan telefon bimbit dari pulau berkenaan sebelum kami dimaklumkan berhubung kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami melihat sekumpulan pelancong melambai tangan ke arah bot penyelamat sebelum usaha membawa mereka pulang dilakukan dalam keadaan laut bergelora berserta hujan dan angin kuat,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Jeti Awana Porto Malai dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, namun trauma berikutan insiden itu.

“Punca sebenar mereka terkandas tidak dapat dipastikan,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 10:44pm
d