mutakhir

'Jika bersekongkol, pegawai kerajaan perlu jawab'

Oleh Faliq Lajim

KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan peruntukan undang-undang membolehkan pegawai kerajaan yang mengikut arahan ahli politik didakwa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan arahan tidak mematuhi proses dan prosedur sedia ada.

Katanya, ini sebagai jaminan pegawai kerajaan dan pengurusan sesebuah institusi kerajaan itu bertindak secara profesional dan bertanggungjawab.

“Pegawai kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang. Mereka tidak boleh mendapat arahan daripada orang politik. Jika berlaku sesuatu, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan?

“Itu sebab daripada awal pegawai kerajaan mesti meneliti permohonan itu (permohonan yang diterima) mengikut merit dan proses serta peraturan yang sedia ada.

“Kalau dia (pegawai kerajaan) bersekongkol, dia kena bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Bicara Minda Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Shah Alam, hari ini.

Katanya, kerajaan juga sudah membuang slogan ‘Saya yang menurut perintah’ dan digantikan dengan ‘Saya yang menjalankan amanah’ melalui persetujuan Perdana Menteri.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 11:13pm
d