mutakhir

Kempen PRK PD berakhir

Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal

SELEPAS 14 hari, tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tamat jam 11.59 malam tadi.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Calon Bebas lain adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah Lau Seck Yan.

Jika dilihat kepada momentum kempen, Anwar paling menonjol dengan menggerakkan jentera berkempen hingga ke minit terakhir, berbanding enam calon lain.

Malam tadi saja, empat program ceramah diatur untuk Anwar bermula jam 8 malam sehingga jam 11.30 malam yang turut mendapat sokongan pemimpin utama PH.

Pada sebelah siang, lapan program bertemu rakyat dihadiri beliau bermula jam 8 pagi.

Enam calon lain, bagaimanapun menggunakan pendekatan berbeza untuk meraih undi dengan kebanyakannya melakukan tinjauan mesra secara santai.

Malah, mereka turut menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk menyampaikan pesanan serta harapan akhir kepada pengundi.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 12:05am
d