mutakhir

Cukai pelancongan diteruskan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KERAJAAN tidak bercadang untuk memansuhkan Cukai Pelancongan yang dikenakan kepada setiap pelancong asing yang memasuki negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pelaksanaan cukai berkenaan akan diteruskan memandangkan ada kebaikannya untuk negara.

“Kita tidak bercadang untuk memansuhkan Cukai Pelancongan (tourism tax) malah, akan mengekalkan cukai berkenaan kerana ia menguntungkan negara.

“Pada masa sama, kita mengambil maklum apa yang disuarakan pelancong berhubung cukai ini terutama dalam kalangan ‘backpackers’ namun, jika dilihat pada nilai cukai RM10 dan dibandingkan dengan nilai mata wang mereka, ia hanya jumlah kecil untuk dibayar ketika melancong ke negara ini,” katanya. ketika ditemui pada sambutan Hari Sukan Negara peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita memperjelaskan mengenai rungutan pelancong asing berhubung cukai pelancongan yang dikenakan di atas setiap transaksi.

Mohamaddin berkata, kerajaan juga tidak bercadang untuk menaikkan kadar cukai berkenaan buat masa ini kerana nilai berkenaan masih berpatutan.

“Buat masa ini, kita belum memutuskan sebarang keputusan untuk kenaikan kadar Cukai Pelancongan itu,” katanya.

Pada 3 Julai lalu, Mohamaddin dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji semula keperluan pelaksanaan Cukai Pelancongan dalam memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Beliau dipetik berkata, cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam itu perlu dikaji untuk mengetahui pendapat dan pandangan semua pihak yang terbabit terutamanya pelancong sama ada kadar itu terlalu tinggi atau munasabah.

Malaysia melaksanakan Cukai Pelancongan berkuat kuasa 1 September tahun lalu selepas Parlimen meluluskan pelaksanaannya.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 10:53am
d