mutakhir

2021 kuat kuasa pakai kasut hitam

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

PELAKSANAAN pemakaian kasut hitam oleh lebih lima juta murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.

Kementerian Pendidikan ketika mengumumkan perkara itu menjelaskan keputusan berkenaan diambil selepas mempertimbangkan pandangan semua pihak berkepentingan, merangkumi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid, pentadbir sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan rantaian sektor pembekal.

“Bagi maksud pelaksanaannya, kementerian juga bersetuju pemakaian kasut hitam perlu dilaksanakan secara beransur-ansur mulai sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaannya pada 2020.

“Dalam tempoh peralihan itu, murid masih dibenarkan untuk memakai kasut putih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada 29 Julai lalu, dilaporkan berkata, murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan memakai kasut hitam mulai 2019 susulan maklum balas dan keluhan daripada ibu bapa yang sering mengadu mengenai tahap kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.

Katanya, langkah itu berupaya membantu menceriakan para pelajar, terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah.

Mengulas lanjut, kementerian dalam kenyataan sama menegah pihak sekolah daripada mengadakan peraturan atau memaksa murid untuk memakai kasut hitam sepanjang tempoh peralihan dua tahun yang diperuntukkan.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menyediakan anak mereka dengan pemakaian kasut hitam kerana mempunyai pilihan antara dua warna sehingga 2020,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 12:46pm
d