mutakhir

Calon boleh masuk ke saluran mengundi - SPR

Oleh Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

CALON Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson boleh masuk ke saluran mengundi bagi memantau perjalanan proses pengundian.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, calon perlu mengikut peraturan ditetapkan dengan tidak berkempen.

“Mereka (calon) boleh masuk ke saluran mengundi untuk membuat pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilihat masuk ke saluran mengundi di SK Port Dickson.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, yang masih mempersoalkan tindakan SPR membenarkan Anwar bertanding PRK Port Dickson, Azhar berkata, SPR hanya berfungsi sebagai pentadbiran.

“Dalam terma undang-undang kita menerima ‘ex-facie’ iaitu tanpa siasatan lanjut. Kita terima dokumen penamaan calon Anwar dan kita tahu dia sudah mendapat pengampunan.

“Kami tidak jalankan siasatan. Jika tidak berpuas hati boleh ke mahkamah dan biar mahkamah tentukan.

“Takiyudin seorang peguam, jadi dia patut tahu undang-undang,” katanya.

  • Lagi berita PRK Port Dickson
  • Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 4:31pm
    d