mutakhir

Siasat penyalahgunaan kad pengenalan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menerima satu laporan berhubung kes penyalahgunaan kad pengenalan orang lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Laporan itu dibuat lelaki berusia 21 tahun yang mendakwa namanya sudah digunakan untuk mengundi sedangkan beliau belum berbuat demikian di pusat mengundi di Kolej Vokasional Port Dickson, Lukut.

Lelaki terbabit ke pusat mengundi pada 8.30 pagi, namun semakan pegawai SPR mendapati namanya sudah digunakan.

Pengundi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata laporan diterima di Balai Polis Lukut pada jam 10.17 pagi.

"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1)(L) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Aidi Sham berkata, setakat 4 petang hari ini, tiada insiden kekecohan atau pergaduhan dilaporkan di semua 32 pusat mengundi membabitkan 154 saluran.

Katanya, aliran trafik di sekitar daerah turut dilaporkan lancar dan pengundi mematuhi peraturan lalu lintas dikeluarkan anggota bertugas.

  • Lagi berita PRK Port Dickson
  • Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 5:17pm
    d