mutakhir

Tak perlu tarik balik jualan laksa

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

KEMENTERIAN Kesihatan berpendirian tiada keperluan untuk menarik balik jualan laksa di semua premis dan gerai makanan sebelum menerima keputusan penuh laporan ujian makmal berkaitan sampel makanan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu juga akan memberi impak negatif terhadap peniaga laksa sekali gus menjejaskan pasaran ekonomi dan perniagaan tempatan.

“Andainya perlu (tarik semula), arahan itu kita akan buat dengan segera tetapi kita masih lagi menunggu laporan dari makmal secara empirikal.

“Dalam waktu terdekat juga, sebaik menerima dapatan (laporan penuh), saya akan umumkan (perlu atau tidak),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, jumlah mangsa kes keracunan dipercayai memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling meningkat kepada 83 kes, yang dilaporkan di tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Selangor, setakat semalam.

Justeru, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan sehingga laporan penuh dikeluarkan kementeriannya.

“Kita tidak mahu beri sebarang keputusan selagi belum terima laporan dan ia masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, setakat ini 10 sampel makanan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh di Selangor dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pulau Pinang untuk dianalisis.

Sampel makanan berkenaan termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap pemilik gerai laksa supaya berfikir berulang kali jika mahu mengambil tindakan saman terhadap kementerian yang didakwa mereka mengelirukan sehingga memberi gambaran buruk kepada perniagaan itu.

“Saya kira tidak pernah (kementerian) memberi maklumat seperti nama dan gambar berkaitan pemilik gerai terbabit. Sesiapa yang hendak mendakwa itu hak mereka termasuk menyebabkan dua kematian.

“Kami sangat berhati-hati dengan apa jua dapatan dan maklumat. Jadi, fikir dulu dan semak maklumat yang kami dedahkan,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 5:32pm
d