mutakhir

Maut motosikal dilanggar lori

Oleh Adnan Ibrahim

SEORANG penunggang motosikal maut manakala seorang penunggang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 57.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Kluang, hari ini.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat selepas menyertai Program Serlahkan Kehebatan 10 anjuran Kelab Permotoran Generasi Baru yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian di Angsana Mall di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, penunggang Yamaha LC 135, Muhammad Kharulnizam Sariman, 20, maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, penunggang motosikal Yamaha LC 135 yang lain, Mohamad Zahir Mohd Badrin, 20, cedera ringan manakala pemandu lori, Mohd Khairil Noorani, 31, tidak cedera.

“Hasil siasatan awal, motosikal ditunggang mangsa dari arah Johor Bahru ke Batu Pahat hilang kawalan sebelum dilanggar lori yang berada di lorong sama.

“Mangsa tercampak sebelum motosikalnya bergesel dengan motosikal Mohamad Zahir menyebabkannya terjatuh ke kiri jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala Mohamad Zahir dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 11:09pm
d