mutakhir

Dua murid cedera

Oleh Mohamed Farid Noh

DUA murid Tahun Enam dari Minyak Beku, dekat Batu Pahat cedera ketika mendaki Bukit Payung di Parit Sulong, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd Aiman Ramlan, 12, terseliuh kaki manakala rakannya, Azlan Alidan,12, dipercayai mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Payung bersama 20 lagi rakan serta ditemani 20 guru mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Muhd Syamil Arifin berkata, sebuah jentera bomba bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Operasi mencari dan menyelamat digerakkan sebaik anggota bomba tiba di Bukit Payung dan kumpulan murid dan guru berkenaan ditemui di pertengahan bukit setinggi 238 meter itu.

“Operasi menurunkan kedua-dua murid yang terseliuh dan sesak nafas berkenaan mengambil masa dua jam bermula 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari tadi berikutan keadaan bukit yang curam dan licin akibat hujan lebat semalam.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi NSTP, di Batu Pahat, hari ini.

Sementara itu, Muhd Syamil menasihatkan aktiviti mendaki ditangguhkan buat sementara berikutan keadaan cuaca selain keadaan permukaan tanah yang licin.

“Keadaan sekarang kurang sesuai untuk aktiviti pendakian dan jika ia mahu diteruskan ia perlu dimaklumkan kepada Jabatan Hutan serta Balai Bomba atau Balai Polis berhampiran, ” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 11:47pm
d