mutakhir

Tak serik lagi ke bro?

Oleh Hasbi Sidek

MESKIPUN hampir setiap minggu ‘litar’ lumba haram di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari Sentul ke Gombak, ‘diganggu’ pihak berkuasa, mat rempit terutama golongan belasan tahun tidak serik untuk melepaskan gian mereka di lokasi itu.

Lebuh raya dengan laluan sepanjang kira-kira 11 kilometer dari persimpangan di Sentul dan berakhir di Gombak itu menjadi antara litar digemari mat rempit untuk menguji jentera masing-masing.

Namun, apa yang menyedihkan kebanyakan daripada mereka adalah remaja dan masih bersekolah, selain pandangan yang kurang menyenangkan apabila segelintir daripada membawa teman wanita untuk menonton perlumbaan percuma di tepi lebuh raya.

Terbaru, dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi (RO), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, awal pagi semalam menyaksikan empat individu ditahan ketika asyik berlumba sesama sendiri.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, berkata kegiatan mat rempit atau samseng jalanan di ibu kota semakin menurun ketika ini ekoran tindakan agresif pihaknya melakukan operasi melalui Unit RO hampir setiap minggu.

“Bagaimanapun, daripada pemerhatian kami, masih terdapat sebilangan kecil golongan muda yang masih tidak serik untuk menjadikan laluan di lebuh raya sebagai tempat untuk berlumba dan melakukan aksi bahaya.

“Dalam operasi kami jalankan di Lebuhraya DUKE bermula 1 pagi itu, kami berjaya menahan empat individu yang berusia 14 hingga 19 tahun yang berlumba sesama sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur dekat Jalan Tun H S Lee untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 1:31am
d