mutakhir

Lelaki didakwa 'rompak' 125Z

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PEMANDU lori ais mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tuduhan merompak sebuah motosikal menggunakan sebilah golok berdekatan stesen minyak di Nilam Puri pada Jun lalu.

Tertuduh, Syihabuddin Pauzi, 26, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Lelaki berkenaan didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak motosikal jenis Yamaha 125Z milik Wan Ahmad Ainuddin Wan Ahmad Dusuki, 24, dengan bersenjatakan sebilah golok.

Syihabuddin didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Salor berdekatan stesen minyak di Nilam Puri, Kota Bharu, jam 8.15 malam, pada 16 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh diwakili peguam Zubairi Salleh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Rantau Panjang setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 2:55pm
d