mutakhir

[UPDATE] 'Kami ada bukti' - KKM

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mempunyai bukti 83 keracunan makanan termasuk dua kematian akibat memakan laksa yang dibeli di Kupang, Baling berpunca daripada pengusaha laksa kebok itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya bukan mahu menghukum semua peniaga laksa, sebaliknya mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit sahaja.

“Kita mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan bahawa punca keracunan itu berasal daripada pengusaha laksa (kebok) terbabit.

“Jadi sebenarnya apabila kita memperolehi bukti, kita boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap peniaga terbabit mengikut akta makanan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi di Padang Medan Pengkalan Mutiara, Ipoh, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pemilik gerai laksa kebok yang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman ke atas KKM kerana kenyataan disiarkan seolah-olah sah laksa dijualnya beracun.

Katanya, siasatan turut dijalankan terhadap rangkaian pembekal kepada pengusaha itu untuk mengetahui puncanya agar kejadian keracunan makanan tidak merebak.

Semalam, KKM mengesahkan kes keracunan makanan disyaki berpunca akibat memakan laksa dibeli di premis terbabit meningkat kepada 83 mangsa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik berkata, ia susulan pertambahan tiga kes baharu di Perak, kelmarin.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 6:44pm
d